Search This Blog

06 Disember 2012

Cerita Moarl 8


Satu Hari Satu Cerita 


Hujan turun dengan lebatnya hari itu, dua ekor katak bersuka ria setelah lama menanti hujan.

      Kemarau memanjang menyebabkan mereka menunggu-nunggu hujan turun. Oleh sebab terlalu gembira, mereka berdua melompat-lompat dan terjatuh ke dalam telaga buruk. Peristiwa malang itu disedari oleh katak-katak lain yang melihat kemalangan itu. Namun, mereka tidak dapat berbuat apa-apa. Malah, ada yang berkata, "Dalamnya perigi itu! Tentulah mustahil mereka berdua akan berjaya naik semula ke atas!"

      Perkataan itu melemahkan salah seekor katak itu. Namun, katak yang seekor lagi terus melompat dan mencuba.

Dari atas perigi itu, banyaklah sorakan dan pekikan memberi semangat. Terdengar pula, seekor katak di antara yang banyak itu berkata, "Aku rasa kedua-duanya akan mati di dalam perigi buta itu kerana perigi itu amat dalam!"

   Mendengar pendapat itu, katak yang sudah lemah semangat tadi hampir berputus asa pula. Katak itu tidak ingin mencuba lagi. Segala-galanya dirasakannya sia-sia sahaja. Ketika itu pula, katak itu terdengar pendapat yang lain, "Bagaimana daya seekor katak ingin melepasi perigi yang sebegitu dalam dan licin pula?"

      Mendengar pendapat itu, katak yang sudah lemah semangat itu menyerahkan dirinya pada takdir. Katak itu merasakan sudah sampai masanya ia akan mati. Namun, katak yang seekor lagi itu, melompat dan mencuba. Walaupun terasa keletihan, namun katak itu tetap bulatkan hati dan terus mencuba.

      Entah kali keberapa, katak itu tidak pernah menghitung. Katak itu hanya tahu keadaannya amat bahaya. Katak itu tidak mahu mati kebuluran di dalam perigi buta tersebut. Itulah yang ditumpukan tanpa berfikir yang bukan-bukan. Kegigihan katak itu menyebabkan katak-katak di atas perigi berasa takjub dan hairan. Semangatnya yang begitu tinggi amat dikagumi.
Katak itu melompat lagi. Gagal. Katak itu melompat dan melekat di tebing licin dan jatuh. Gagal lagi! Katak itu menghimpunkan tenaga dan melompat.

      Katak itu memegang tebing perigi dan melompat sekuat hati. Katak itu dapat mencapai tebing dan terus keluar. Semua katak yang datang ke tempat itu memberi pujian. Beberapa ketika, barulah katak-katak itu menyedari rupa-rupanya katak tersebut pekak dan tidak mendengar apa-apa yang mereka katakan. Barulah mereka tahu bahawa katak itu hanya melompat dan melompat, tanpa menghiraukan apa yang diperkatakan oleh mereka semua.

      Manakala katak yang tidak pekak masih berada di dalam perigi itu. Hanya menyerah diri pada takdir dan nasib sahaja. Di bawah sana, katak itu sudah tidak berbuat apa-apa lagi. Katak itu telah banyak mendengar kata-kata katak lain. Katak itu percaya pada kata-kata bahawa ia akan gagal, walaupun mencuba kerana sememangnya telaga itu dalam dan sukar untuk dilepasi.



NILAI MURNI
        Setiap usaha yang gigih pasti akan membawa kejayaan. Sikap mudah menyerah kalah dan lemah semangat tidak akan mendatangkan kejayaan. Oleh yang demikian, kita haruslah sentiasa tekun berusaha dalam setiap perkara yang kita lakukan, jika kita ingin memperoleh kejayaan.

   Jangan mendengar nasihat yang tidak memberikan semangat? Kalau kita turut mendengar dan terpengaruh, jadilah kita seperti seekor katak yang berputus asa di dalam perigi itu.

Tiada ulasan: